|
|
JENAYAH DALAM ISLAM
KESALAHAN MINUM ARAKPENGHARAMAN ARAK SECARA BERANSUR-ANSUR
Islam mengharamkan minum arak secara
putus kerana ia dianggap sebagai punca
kejahatan. Selain khamar itu merosakkan akal fikiran, ia juga merosakkan
kesihatan, menghabiskan wang ringgit malahan boleh menyebabkan pertumpahan
darah. Tetapi oleh kerana pada zaman permulaan Islam, khamar telah menjadi
kegemaran kebanyakan orang Arab maka syariat Islam mengharamkan khamar itu tidak
dengan sekaligus bahkan dengan cara berperingkat-peringkat. Pertama Allah
menurunkan ayat yang menerangkan bahawa khamar yang diambil daripada buah kurma
dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik sebagaimana firmanNya
:
Maksudnya :
Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang
memabukkan dan rezeki yang baik.
Yang kedua Allah menurunkan ayat yang
menjelaskan bahawa keburukan yang ada khamar lebih banyak daripada kebaikannya
sebagimana firmanNya :
Maksudnya :
Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa
pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermunafaat kepada manusia tetapi dosa
kedua-duanya itu lebih besar daripada munafaat.
Kemudian turun ayat seterusnya yang
melarang orang yang dalam keadaan mabuk menunaikan solat sebagaimana firmanNya
:
Maksudnya :
Wahai ornag-orang yang beriman, jangan kamu hampiri solat sedangkan kamu
dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetagui apa-apa yang kamu cakapkan.
Akhir sekali
turunlah ayat al-Quran yang memberi kataputus tentang pengharaman khamar
sebagaimana firmanNya :
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman seseungguhnya arak, judi, mengundi nasib,
berhala-berhala adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah
daripadanya mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Begitulah Islam melarang orang daripada
minum khamar kerana bertujuan untuk memberikan personaliti kuat sama ada dari
segi fizikal mahupun dari segi mental, sebab khamar boleh merosakkan akal
fikiran dan apabila akal sudah rosak maka ia akan menjadi punca berlakunya
kejahatan sama ada pada dirinya sendiri atau kepada orang lain.
Hikmat Pengharaman Khamar
Syariat Islam telah mengharamkan arak dan
menetapkan hukuman berat ke atas peminum-peminum arak kerana ia boleh
membahayakan bukan sahaja kepada peminum-peminum arak itu sendiri bahkan juga
kepada masyarakatnya. Di antara kemudaratan yang timbul daripada minum
arak.
1. Merosakkan kesihatan. Hal
ini telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam Hadithnya yang bermaksud :
Bahawasanya arak itu bukan ubat tetapi adalah sebagai pembawa penyakit.
Mengikut kajian ilmiah bahawa arak menjadi sebab datangnya bermacam-macam
penyakit seperti sakit perut, hilang selera makan, perjalanan darah tidak betul,
sakit paru-paru, lemah nafsu, sesak nafas, kecacatan pada kandungan, mandul dan
sebagainya.
2. Arak adalah punca
segala kejahatan seperti maksud Hadith Rasulullah s.a.w :
Maksudnya : “Khamar adalah
punca kejahatan”.
Kerana apabila seorang itu mabuk maka
dia akan melakukan kejahatan sama ada dari segi percakapan dan perbuatannya,
tanpa menyedari akibatnya.
3. Menyebabkan perpecahan dan
permusuhan dalam masyarakat. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya
:
Maksudnya : Sesungguhnya
syaitan mengkehendaki supaya berlaku permusuhan dan kebencian disebabkan oleh
arak dan judi.
Apabila seorang itu mabuk maka
akalnya tidak dapat menghalang dirinya daripada mengeluarkan kata-kata atau
perbuatan yang menyakiti orang lain. Sehingga boleh berlaku pergaduhan dan
pembunuhan.
4. Orang yang mabuk arak
tidak mengindahkan tuntutan-tuntuan agamanya dan tidak mempedulikan
larangan-larangan syarak. Hal ini diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran
:
Maksudnya : Dan arak itu
menghalang kalian daripada menginati Allah dan daripada menunaikan solat maka
berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)
5. Menghabiskan harta. Jika
seorang itu asyik minum arak yang menjadi punca kejahatan maka sudah tentu dia
melakukan kejahatan-kejahatan yang lain seperti berjudi, berpoya-poya, pergi ke
tempat-tempat maksiat dengan menghabiskan masa tenaga dan wang
ringgit.
Jadi oleh kerana begitu
hebatnya bahaya daripada minuman arak itu maka memang munasabah sekali Islam
mengharamkan arak serta menetapkan hukuman yang berat ke atas peminum-peminum
arak itu.
Rukun-rukun Kesalahan Minum
Arak (Khamar) :
1. Minuman
khamar
2. Orang yang
minum
3.
Niat
1. Minuman
Khamar
Perkataan khamar berasal daripada masdar atau khamar yang bererti
penutup, yang bermaksud bahawa khamar boleh menutupi akal fikiran daripada
mengetahui keadaan yang sebenar.
Ulamak feqah berselisih pendapat mengenai pengertian khamar yang
membolehkan peminumnya dikenakan hukuman had. Jumhur ulamak mengatakan bahawa
taip-tiap benda yang memabukkan adalah khamar sama ada yang memabukkan itu
sedikit atau banyak, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya : Tiap-tiap benda yang memabukkan adalah khamar dan
tiap-tiap khamar adalah diharamkan.
Sabda Rasulullah lagi daripada al-Nukman b. Basyir :
Maksudnya : Bahawasanya daripada “al-hantah” itu khamar, dan
daripada syair itu khamar, daripada anggur kering itu khamar, daripada tamat itu
khamar dan daripada madu adalah khamar.
Kedua Hadith di atas menunjukkan bahawa khamar itu ialah sebagi
tiap-tiap minuman yang memabukkan dan juga kerana tiap-tiap benda yang
memabukkan dengan tidak mengambil kira daripada mana bahan asalnya. Manakala
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa khamar ialah benda memabukkan yang berasal
daripada buah anggur dan kurma. Berdasarkan sabda Rasulullah :
Maksudnya : Diharamakan khamar kerana bendanya dan yang memabukkan
dari setiap minuman.Menurut satu riwayat bahawa Rasulullah menunjuk pokok anggur
dan kurma dengan jarinya dan bersadba :
Maksudnya : Khamar itu (berasal) daripada kedua-dua pokok
ini.
Imam Abu Hanifah membezakan khamar
yang diperbuat daripada anggur dengan minuman-minuman lain yang memabukkan yang
dibuat selain daripada anggur dari segi hukuman dengan peminumnya. Jadi, orang
yang minum khmar yang diperbuat daripada sama ada sedikit atau
banyak adalah haram dan wajib dikenakan hukuman had. Manakala yang minum
jenis-jenis minuman yang selain khamar maka peminumnya tidak wajib dikenakan
hukuman had kecuali jika sampai had yang memabukkan. Sedangkan menurut jumhur
ulamak hukuman bagi orang yang minum minuman yang memabukkan adalah satu sahaja,
sama ada ia minum yang dibuat daripada anggur atau daripada bahan-bahan lain
asalkan memabukkan.
Jadi kalau
dibandingkan antara kedua-dua pendapat di atas maka pendapat jumhur yang lebih
sesuai dengan pendapat kita kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah
mendefinasikan khamar itu bahan daripada anggur itu sendiri tidak dinamakan
khamar melainkan disebabkan kerana ia mendatangkan mabuk. Jadi, jika bahan-bahan
yang selain anggur boleh memabukkan maka ia juga dinamakan khamar, lebih-lebih
lagi pada zaman sekarang, yang kedapatan jenis bahan yang memabukkan bertambah
banyak. Oleh itu kalau yang diharamkan itu hanya terhad kepada bahan-bahan yang
dibuat daripada anggur maka ramailah orang yang terlepas daripada hukuman
sedangkan terdapat bahan-bahan yang selain daripada anggur lebih memabukkan dan
lebih mendatangkan kemudaratan.
Dengan mengikut
pendapat jumhur ini bererti segala jenis yang memabukkan sama ada minuman atau
tidak adalah diharamkan seperti dadah, opium dan sebagainya kerana bahan-bahan
itu membahayakan tubuh badan dan merosakkan akal fikiran, yang boleh membawa kepada melakukan
kejahatan-kejahatan yang lain.
2. Syarat orang
yang minum arak.
Disyaratkan kepada orang yang melakukan kesalahan minum khamar
sehingga ia boleh dikenakan hukuman had ialah seperti berikut :
i, ii Orang yang sudah
baligh dan berakal. Sekiranya kanak-kanak atau orang gila minum minuman keras
maka tidak diwajibkan had ke atas mereka disebabkan perbuatan mereka tidak
dianggap sebagai perbuatan jenayah kerana diangkatnya qalam daripada
mereka.
iii. Islam tidak menjadi
syarat. Ini bererti seorang yang kafir zimmi atau musta’min jika
minum minuman khamar diwajibkan hukuman had ke atas mereka mengikut pendapat
jumhur kerana minuman khamar itu diharamkan dalam semua agama
samawi dan kerana pengharamannya adalah untuk kepentingan masyarakat dan
memelihara daripada kebinasaan. Akan tetapi menurut Abu Hanifah Khamar adalah
harta yang bernilai di sisi zaimmi dan mustamin dan ia diharuskan ke atas
mereka. Jadi, mereka minum khmar tidak dianggap sebagai melakukan jenayah, oleh
kerana itu mereka tidak boleh dikenakan hukuman had. Akan tetapi jika
orang-orang kafir zimmi itu minum minuman khamar kemudian mereka mabuk maka
mereka boleh dikenakan hukuman had disebabkan mereka mabuk dan bukan kerana
minum arak, kerana dalam keadaan mabuk itu diharamkan dalam semua
agama.
iv. Dengan kehendaknya
sendiri bukan dipaksa. Oleh itu jika seorang itu minum khamar kerana dipaksa
orang atau terpaksa minum seperti dalam keadaan dahaga yang bersangatan yang
mana tidak mendapati air kecuali minuman khamar maka tidak wajib had ke atasnya,
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Diampunkan umatku kerana
tersalah, lupa dan kerana dipaksa. Dan mengikut firman Allah :
Maksudnya : Maka
barangsiapa dalam keadaan terpaksa sedangkan ia tidak menginginkannya dan tidak
pula melampaui batas maka tidak ada dosa baginya.
v. Minuman itu mestilah sampai ke dalam
rongga melalui mulut, kalau minuman itu sampai ke dalam rongga dengan jalan yang
lain daripada mulut seperti melalui suntikan atau ditebuk lubung di leher dan
seumpamanya maka tidak diwajibkan had ke atasnya.
3. Adanya niat
melakukan kesalahan.
Yang dimaksudkan dengan adanya niat itu ialah apabila seorang yang
minum itu betul-betul mengetahui bahawa benda yang diminum itu ialah khamar atau
benda yang memabukkan. Jadi, kalau dia minum bahan yang memabukkan tetapi dia
tidak mengetahui bahawa dengan meminum queintiti yang banyak itu memabukkan maka
dia tidak diwajibkan had ke atasnya walaupun dengan sebab minum itu dia menjadi
betul mabuk. Begitu juga jika seorang itu minum minuman yang memabukkan
sedangkan dia menyangka yang diminum itu bukan bahan yang memabukkan maka
peminum itu terlepas daripada hukuman had seperti kes seorang yang berwati
dengan perempuan yang disangkanya isterinya sendiri. Begitu juga juga yang
dimaksudkan dengan adanya sengaja ialah jika orang yang minum arak mengetahui
tentang haramnya khamar itu. Tetapi kalau dia tidak tahu bahawa khamar itu haram
maka perbuatannya itu tidak dianggap sahaja dan tidak wajib dikenakan had
walaupun dia mengetahui bahawa yang diminum iut bahan yang memabukkan sekalipun.
Akan tetapi kalau kejahilan tentang haramnya khamar itu berada di tengah-tengah
masyarakat Islam maka alasannya itu tidak boleh diterima. Manakala kalau
kejahilannya itu disebabkan baru masuk Islam atau berada di tempat yang
berjauhan daripada orang Islam maka boleh diterima alasannya.
Bukti-bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Minum Khamar
1. Kesaksian
2. Pengakuan
3. Bau mulut
Kesaksian.
Kesalahan minum khamar
dan mabuk disabitkan dengan adanya saksi-saksi, terdiri dari dua orang laki-laki
yang mempunyai syarat-syarat yang cukup sebagai saksi. Oleh sebab itu jika saksi
itu semuanya terdiri dari kaum wanita atau seorang saksi lelaki beserta dengan
beberapa kaum wanita maka tidak diterima kesaksian mereka, ini kerana kesaksian
mereka boleh mendatangkan keraguan.
Imam Abu Hanifah dan
Abu Yusuf mensyaraktkan selain daripada syarat saksi-saksi itu ialah adanya bau
khamar ketika seorang itu disaksikan minum khamar atau sedang mabuk, dan tidak
disyaratkan adanya bau khamar itu ketika penyiasatan. Manakala Muhammad
al-Syaibani tidak mensyaratkan adanya bau khamar ketika saksi-saksi itu
menyaksikan pesalah itu minum khamar atau sedang mabuk. Alasan Abu Hanifah ialah
kerana hukuman had kerana minum khamar itu ditetapkan oleh ijmak para sahabat
dan oleh kerana Ibn Ma’ud mensyaratkan adanya bau khamar yang tidak ada ijmak
kecuali dengan ijtihadnya. Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf juga mengatakan bahawa
kesaksian itu diterima dengan syarat kejadian jenayah itu disaksikan tidak lama
selepas kejadian itu kira-kira belum hilang bau khamar di mulut yang dituduh.
Jadi kalau saksi-saksi itu mendiamkan sahaja kejadian itu tidak mahu tampil
menjadi saksi sehingga hilang bau khamar, selepas itu baru hendak menjadi saksi
maka tidak diterima kesaksian mereka. Manakala Muhammad al-Shaibani pula
menentukan masa untuk menjadi saksi tidak lebih dari tiga puluh hari. Akan
tetapi kebanyakan ulamak tidak menerima pendapat Imam Abu Hanifah mengenai
tempoh kesaksian sebagai syarat penerimaan saksi-saksi.
Apabila saksi-saksi
itu tampil memberi keterangannya maka kadi hendaklah menyoal saksi-saksi itu
mengenai apa yang dikatakan khamar dan bagaimana yang dituduh itu meminumnya
sama ada dengan kemahuannya sendiri atau dipaksa juga disoal tentang tempat di
mana yang dituduh itu minum sama ada di negara Islam atau di negeri bukan Islam
.
2.
Ikrar-Pengakuan
Sabit kesalahan minum
khamar dengan pengakuan yang diberikan oleh pesalah itu sendiri. Memadai dengan
sekali pengakuan mengikut pendapat empat mazhab. Cuma Abu Yusuf yang
mensyaratkan dua kali pengakuan sepertimana saksi itu disyaratkan dua
orang.
Seorang yang menarik
balik pengakuan kerana minum khamar boleh diterima penarikan balik akuannya
kerana kesalahan itu adalah semata-mata mengenai hak Allah s.a.w. seperti
kesalahan-kesalahan hudud yang lain yang mengenai hak Allah, kerana kemungkinan
pengakuan yang dibuat sebelumnya tidak benar, maka jadilah satu perkara yang
menimbulkan kesamaran (syubahat) yang boleh melepaskan hukuman hudud.
Adapun pengakuan yang
dibuat oleh seorang yang sedang mabuk tidak boleh diterima kerana pengakuannya
itu mungkin tidak benar oleh itu orang yang sedang mabuk itu tidak boleh
dipegang keterangannya.
Seperti dalam
kesaksian maka dalam hal pengakuan ini juga Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf
mensyaratkan bahawa pengakuan itu dibuat tidak lama selepas kejadian jenayah
minum. Kalau kejadian minum itu telah lama berlaku sehingga telah hilang bau
khamar di mulutnya, baru seorang itu mengaku maka tidak diterima pengakuannya.
Manakala kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa pengakuan yang dibuat selepas
kejadian ini berlaku walau macam mana lama sekalipun boleh diterima pengakuannya
sehingga boleh mensabitkan kesalahannya.
3. Bau arak.
Imam Malik dan satu
riwayat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa dengan adanya bau khamar di mulut
seseorang sudah cukup untuk membuktikan bahawa seorang itu minum arak walaupun
ketika dia minum itu tidak seorang pun yang menyaksikannya. Jadi, jika dua orang
menyaksikan adanya bau khamar di mulut seorang atau seorang saksi melihat
seorang sedang minum khamar sedang yang seorang lagi mencium bau khamar di
mulutnya maka keterangan saksi-saksi itu boleh mensabitkan kesalahan minum yang
membolehkan peminum khamar itu di hukum had. Manakala Imam Abu Hanifah, Syafie
dan satu riwayat daripada Ahmad menyatakan bahawa adanya bau khamar di mulut
seseorang tidak boleh dengan sendirinya mensabitkan kesalahan tersebut. Akan
tetapi menurut Abu Hanifah bau khamar berserta dengan adanya seorang saksi
melihat seorang itu minum khamar boleh mensabitkan kesalahan.
Mereka yang
mensabitkan kesalahan minum khamar kerana adanya bau dimulut beralasan bahawa
Ibn Masud telah menghukum jilid ke atas seorang laki yang didapati mulutnya
berbau khamar dan mengikut satu riwayat daripada Saidina Umar yang berkata
maksudnya :
Aku dapati mulut Ubaidillah berbau khamar
yang kemudiannya dia mengaku telah minum air anggur. Kemudian Saidina Umar
bertanya kepadanya jika dia mabuk maka aku akan menghukum jilid ke
atasnya.
Manakala ulamak yang tidak menerima bau arak sebagai bukti yang
mensabitkan kesalahan minum arak
berpendapat bahawa mulut seorang itu berbau khamar tidak semestinya dia minum,
mungkin dia hanya berkumur atau menyimpannya sahaja di mulut dengan tidak
ditelan minuman tersebut dan mungkin dia makan buah-buahan atau minuman yang
mempunyai bau yang serupa dengan bau khamar. Jadi, dengan adanya
kemungkinan-kemungkinan ini mendatangkan kesamaran-kesamaran yang boleh
melepaskan dari hukuman had.
4. Dalam keadaan
mabuk.
Jika didapati seorang
itu dalam keadaan manuk sudah cukup untuk mensabitkan yang dia minum khamar yang
wajib untuk mensabitkan yang dia itu minum khamar yang wajib dikenakan hukuman
had mengikut mazhab Hanafi jika dianya telah disaksikan oleh dua orang. Akan
tetapi menurut Mazhab Syafie seorang yang dalam keadaan mabuk tidak boleh
disabitkan kesalahan minum khamar kerana mungkin dia mabuk itu disebabkan kena
suntik atau tersalah minum atau dipaksa minum begitulah juga menurut satu
riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala Imam Malik dan satu pendapat daripada
Ahmad yang menyatakan adanya bau khamar sudah memadai untuk membuktikan
kesalahannya maka lebih-lebih lagi jika seorang itu mabuk sudah tentu boleh
mensabitkan kesalahan tersebut sehingga pesalah itu wajib dikenakan hukuman
had.
Hukuman Bagi Kesalahan Minum Khamar
Semua ulamak fekah sependapat bahawa hukuman bagi orang yang minum
khamar ialah dijilid. Cuma mereka berbeza pendapat tentang kadarnya. Ada yang
mengatakan bahawa hukumannya ialah sebanyak lapan puluh kali jilid menurut
pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala
Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad mengatakan hukuman bagi
kesalahan tersebut ialah sebanyak empat puluh kali jilid. Walaupun demikian
boleh juga pesalah itu dikenakan jilid sebanyak lapan puluh kali jika pada
pendapat pemerintah pesalah itu patut dijilid sebanyak itu. Jadi hukuman hadnya
ialah empat puluh kali manankala yang selebihnya adalah sebagai hukuman
ta’zir.
Punca perselisihan
mereka disebabkan kerana hukuman bagi kesalahan had minum khamar tidak ada
keterangannya di dalam al-Quran dan juga kerana Hadith-Hadith Nabi dan Athar
para sahabat tidak memberi penjelasan yang jitu tentang kadar yang tertentu
bahkan semuanya boleh diijtihadkan. Sesungguhnya dalam al-Quran ada disebutkan
tentang pengharaman arak tetapi tidak ada menetapkan hukuman had kepada
peminum-peminum khamar begitu juga Nabi Muhammad s.a.w. tidak menetapkan kadar
yang tertentu. Ada kalanya beliau menyebat pesalah tersebut hanya beberapa kali
sebat dan ada kalanya dengan banyak kali tetapi tidak melebihi daripada empat
puluh kali sebat. Kemudian Saidina Abu Bakar pula menghukum peminum-peminum
khamar sebanyak empat puluh kali sebat. Diriwayatkan daripada Ibn Said al-Khudri
dan Ali bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menghukum orang yang minum khamar sebanyak
empat puluh kali sebat. Apabila tiba pada zaman Saidina Umar maka beliau meminta
nasihat daripada para sahabat lalu Abdul Rahman bin Auf berkata
Maksudnya :
Seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebat, kemudian Umar pun
menetapkan hukuman itu sebanyak 80 kali dan para sahabat semuanya setuju
dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.
Diriwayatkan daripada
Husain bin al-Munzir bahawa ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman
untuk menghukum jilid ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata yang maksudnya
:
Rasulullah s.a.w.
telah menghukum sebanyak 40 kali jilid begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi
Saidina Umar menghukum sebanyak lapan puluh kali semuanya aalah sunnah yang ini
aku lebih sukai.
Bagi fuqaha yang
mengatakan hukuman had minum khamar sebanyak lapan puluh kali sebat berdasarkan
kepada riwayat daripada Anas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah didatangi seorang
lelaki yang minum arak, kemudian beliau menyebat dengan dua pelepah tamar lebih
kurang empat puluh dan begitu juga Abu Bakar berbuat seperti ini, tetapi pada
zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat para sahabat, lalu Abdul Rahman bin
Auf berkata seringan-ringan hukuman hudud ialah lapan puluh kali sebat lalu
Saidina Umar pun memerintahkan hukuman tersebut. Hadith di atas menunjukkan
bahawa hukuman had minum khamar ialah lapan puluh kali jilid kerana para sahabat
telah merestui pendapat Umar yang dengan sendiri dianggap ijmak dan ijmak pula
adalah sebagai salah satu sumber hukum syara. Manakala ulamak yang mengatakan
hukuman had minum khamar itu sebanyak empat puluh kali sebat pula berdasarkan
kepada hukuman yang telah dijalankan oleh Saidina Ali sebanyak empat puluh kali
sebat ke atas al-Walid bin Uqbah dan berkata :
Nabi Muhammad s.a.w. menghukum jilid sebanyak empat puluh kali begitu
juga Abu Bakar tetapi Umar menghukum jilid sebanyak lapan puluh kali, semuanya
Sunnah dan yang ini lebih aku sukai.
Jadi mereka
berpendapat bahawa perbuatan Nabi adalah diterima sebagai hujjah yang tidak
boleh ditinggalkan kerana hendak mengikut perbuatan orang lain dan juga kerana
ijmak tidak boleh diterima sebagai hujah jika bertentangan dengan perbuatan Nabi
s.a.w., Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali. Jadi mereka menganggap hukuman
tambahan yang dilakukan oleh Umar adalah sebagai hukuman ta’zir jika pada
pendapat pemerintah bahawa hukuman itu diperlukan.
Jika dibandingkan
antara kedua-dua pendapat di atas maka saya lebih cenderung kepada pendapat Imam
Syafie kerana Hadith-hadith yang menjelaskan hukuman had minum khamar
menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah menghukum kepada peminum khamar
sebanyak empat puluh kali sebat atau yang hampir kepada empat puluh. Ada pun
riwayat yang mengatakan ada daripada sahabat menghukum sebanyak lapan puluh kali
itu mungkin hukuman yang lebih daripada empat puluh sebagai ta’zir dan bukan
sebagai had. Manakala dakwaan bahawa hukuman lapan puluh kali sebat itu sebagai
ijmak sahabat tidak dapat diterima kerana ijmak sahabat tidak mungkin berlaku
kalau bertentangan dengan amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w. Lagi satu bukti tidak ada ijmak
sahabat ialah kerana Saidina Ali lebih suka kepada hukuman empat puluh kali
jilid seperti yang berlaku ketika baginda menyebat al-Walid yang minum khamar
pada zaman Saidina Uthman.
|
No comments:
Post a Comment