Tuesday, 28 February 2012

KENAPA ORANG ISLAM SOLAT MENGADAP KIBLAT? Part 3



Menghadap Kiblat Dalam Solat
Oleh : Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)


Sebelum membincangkan cara-cara yang diajar oleh nabi saw ketika mendirikan solat yang bermula daripada takbir sehingga salam, seeloknya kita membahaskan beberapa perkara yang berkaitan dengan syarat wajib solat itu sendiri. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam bab ini ialah menghadap ke arah kiblat ketika menunaikan solat. Ia merupakan sesuatu yang wajib, dan solat tidak sah tanpanya.

Landasan utama dalam persoalan menghadap kiblat ketika mendirikan solat ialah firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan dari mana saja kamu keluar, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram. Dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya (QS 2:150)’.

Al-Masjid al-Haram dalam ayat di atas memberi maksud ka’bah iaitu menghadap ke arah kaabah ketika menunaikan solat. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a, bahawa dia berkata, “Ketika Nabi Muhammad saw memasuki Baitullah (Ka’bah), Baginda berdoa pada semua sisinya, tetapi tidak melakukan solat hingga keluar darinya. Setelah keluar, baginda melakukan rukuk dua kali (solat dua rakaat) di hadapan ka’bah. Lalu baginda bersabda, ‘Inilah Kiblat.’

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad saw bersabda, “Hadaplah ke kiblat dan bertakbirlah.” Menghadap kiblat merupakan syarat sah solat kecuali dalam dua keadaan, iaitu ketika keadaan sangat tidak aman dan ketika melakukan solat sunat dalam perjalanan. Dalil yang membolehkan tidak menghadap kiblat ketika mendirikan solat adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan (QS 2:239)

Mengenai penafsiran ayat ini, ‘Abdullah bin ‘Umar r.a mengatakan, “Jika ada rasa takut yang lebih besar daripada itu, hendaklah mereka melakukan solat sambil berjalan dan berdiri atau sambil berkenderaan, sama ada menghadap kiblat atau tidak.” Ia juga turut diperkatakan oleh Imam Malik dalam al-Muwatha’.

Keharusan untuk tidak menghadap kiblat ketika menunaikan solat sunat adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar r.a yang mengatakan, “Rasulullah saw bertasbih (melakukan solat sunat) di atas tunggangannya sambil menghadap ke arah mana saja baginda menghadap dan baginda pun melakukan solat witir di atas tunggangannya itu. Baginda hanya tidak melakukan solat fardu di atasnya.”


Diriwayatkan juga daripada Sayyidina Jabir bin ‘Abdullah r.a, ia mengatakan, “Rasulullah saw melakukan solat di atas tunggangannya ke mana saja tunggangannya itu menghadap. Jika baginda saw akan mendirikan solat fardu, baginda akan turun dan menghadap kiblat.”

Al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani – dalam al-Fath al-Bari (I:503) mengatakan, “Hadis tersebut menunjukkan tidak boleh membelakangi kiblat dalam mendirikan solat fardu – dengan ijmak, tetapi seseorang diberi rukhsah jika ia dalam keadaan sangat takut.”



Setiap muslim wajib memahami cara-cara untuk mengetahui arah kiblat. Perkara ini sebagaimana diperintahkan Allah SWT kepada Rasulullah saw bahawa setiap orang yang mendirikan solat hendaklah menghadap kiblat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:…dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk (QS 16:16).

Termasuk alat petunjuk jalan ialah kompas. Alat ini digunakan oleh manusia moden untuk mengetahui arah kiblat. Setiap muslim diwajibkan mengetahui dalil-dalil atau cara-cara mengetahui arah kiblat, sama ada dengan memerhati terbit dan terbenamnya matahari, melalui penggunaan kompas atau dengan memerhati bayang-bayang ‘kayu’ pada siang hari. Seseorang harus mengetahui arah perjalanan yang sedang dilaluinya, demikian pula arah kiblatnya. Begitulah sebaiknya dilakukan insan Muslim yang memerhatikan kepentingan agamanya, sebagaimana yang dilakukan para sahabat Rasulullah saw .

Imam an-Nawawi mengatakan, “Jika seseorang Muslim tidak mahu belajar lalu bertaklid (mengikuti yang lain) maka tidak sah solatnya, kerana ia telah meninggalkan tugasnya dalam istiqbal (upaya untuk menghadap kiblat). Akan tetapi, jika ia tidak mengetahui arah kiblat kerana ia tidak termasuk orang yang mampu mengetahui kerana bukan ahlinya, atau ia tidak mendapatkan seseorang (guru) tempat belajar masalah itu, sedangkan waktu solat telah sedikit, atau mungkin ia buta, maka yang difardukan kepada orang seperti itu adalah taklid (mengikuti tanpa mengetahui dalilnya).”

Taklid yang dimaksudkan adalah mengikuti perkataan atau pendapat orang lain yang disandarkan pada ijtihad. Akan tetapi jika orang yang diharuskan bertaklid itu tidak mendapatkan orang yang ditaklidnya, maka mereka hendaklah melaksanakan solat – untuk menghormati waktu ibadat – dalam keadaan seadanya. Kemudian ia hendaklah mengulanginya lagi kerana perbuatan itu termasuk uzur yang jarang terjadi. Hal ini perlu dilakukan setiap Muslim kerana menghadap kiblat merupakan syarat sah solat. Syariat tidak menggugurkan kewajipan menghadap kiblat kecuali dalam keadaan sangat tidak aman atau ketika melakukan solat sunat dalam perjalanan.

Perlu diketahui, jika seseorang baru memasuki satu daerah, ia tidak boleh terus mendirikan solat sebelum mengetahui arah kiblat yang tepat. Ia harus berusaha mengetahui perkara itu, contohnya dengan cara bertanya penduduk setempat atau mencari masjid di daerah tersebut. Jika ia melakukan solat tanpa mengetahui terlebih dahulu arah kiblatnya, kemudian ada orang lain yang memberitahu arah kiblat yang sebenar, maka ia harus mengulangi solatnya kerana solatnya tidak sempurna.

No comments:

Post a Comment